"Masuk saja perkahwinan yan kedua dalam 9 tahun lepas, Dhuha saya tak pernah tinggal. Apa saja yang berlaku dalam kehidupan, saya takkan tinggalkan solat Dhuha," itu perkongsian aktor Norman Hakim, 44 kepada Ustaz Zamri menerusi perkongsian Instagram dan Facebook live pada petang Jumaat, 15 Ramadan.
Dalam perkongsian yang sama Norman Hakim turut mendedahkan amalannya menghidupkan waktu Dhuha setiap hari dengan berdoa tidak kurang daripada 40 minit.
Norman Hakim turut berkongsi rutin bulan Ramadan. Pada kebiasaannya bapa kepada enam orang cahaya mata dan suami yang sering menjadi contoh kepada masyarakat ini tidak akan melepaskan peluang melipatgandakan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.
"Saya akan mulakan dengan solat sunat taubat. Lepas tu solat sunat syukur. Kemudian, solat sunat tahajud. Diikuti solat sunat istikharah. Selepas itu baru kepada solat sunat hajat," kongsi Norman Hakim dengan harapan masyarakat tidak salah anggap tentang perkongsiannya ini.
Norman Hakim juga berkongsi doa yang diamalkannya dalam solat hajat yang diamalkannya:
"Ya Allah, ya Tuhanku, Kau perdengarkanlah suara hati hambamu ini. Kau perdengarkanlah setiap doa-doaku sama ada doa-doa dalam solat fardhuku dan doa-doa solat sunatku dan doa-doaku sebelum ini di dalam tawaf umrahku dan tawaf-tawaf sunatku, dan kau jadikan doa-doa ini sebagi makbul di sisimu, untuk segala-galanya yang membawa kepada kebaikan ke atas hambamu ini, ke atas ibu bapaku, isteri dan anak-anakku, dan juga buat keluargaku, sahabt-sahabatku, dan legasiku"
Kami kongsikan perkongsian Norman Hakim ini supaya menjadi inspirasi kepada masyarakat di luar sana. Jangan henti sebarkan kebaikan.