
Kehadiran wajah kacak sebaris nama Farez Ridzwan dalam bidang lakonan semakin mendapat tempat di hati peminat dunia seni tanah air, khususnya peminat drama Melayu.
Ramai mula sedar kewujudannya selepas wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen. Antara drama yang pernah dibintanginya adalah Dendam Aurora, Hero Seorang Cinderella dan Dia Semanis Honey.
Kata Farez, dia mula beraksi depan kamera lima tahun lalu.
Fareez bermula sebagai peragawan dan membuat kemunculan dalam seni lakon sebagai pelakon tambahan dalam filem Tokan pada tahun 2013.
“Sejak itu, satu demi satu tawaran berlakon hadir dan berterusan hingga ke hari ini,” katanya.
Mengakui teruja apabila kehadirannya semakin mendapat tempat, jejaka berusia 24 tahun itu tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada syarikat produksi.
Kata Farez, dia tetap akan mempertimbangkan setiap tawaran mengikut kemampuan dan kesesuaian.
“Saya tidak boleh kaut semua tawaran secara melulu. Perlu ukur juga dengan kemampuan diri, kalau yakin boleh bawa barulah saya terima.
“Bukan apa, sekiranya gagal menggalas amanah itu, sudah pasti ia akan menimbulkan masalah kepada pelakon lain pula. Maklumlah, berlakon membabitkan banyak pihak. Jadi, kita tidak boleh fikir diri sendiri sahaja.
“Lagipun, saya mahu setiap watak yang dilakonkan meninggalkan impak positif supaya momentum sebagai pelakon berjalan dengan baik,” katanya. - Metro