
Satu masa dahulu, kisah rumah tangga pelakon Norman Hakim pernah menjadi perhatian. Sekali imbas, boleh dikatakan rata-rata sudah tahu perjalanan kisah pelakon yang popular dengan drama bersiri Gerak Khas itu mendirikan rumah tangga dengan aktres Abby Abadi, bercerai dan kemudian menjadikan pelakon Memey Suhaiza sebagai teman hidup.
Mungkin tidak semua orang mampu duduk semeja bersama bekas isteri, isteri dan anak-anak seperti yang sering ditunjukkan Norman di laman sosial, tetapi itulah hakikat erti sebuah pengorbanan. Bukan mudah, tetapi bukan juga mustahil.
“Pengorbanan itu memang luas. Bagaimanapun kalau kita kecilkan skop itu untuk keluarga kami ini, ia lebih kepada membuang ego kita dan muhasabah diri dalam menjaga kedamaian, ketenteraman dan ukhuwah antara satu sama lain demi memastikan institusi keluarga terus terpelihara,” katanya.
Pasangan ini berharap media sosial boleh menjadi medium dalam berkongsi manfaat kepada umum.
“Bukan sengaja nak menunjuk-nunjuk, cuma itulah pengalaman saya dan sahabat saya merangkap bekas isteri. Selepas berpisah, kita berusaha menjadi sahabat baik demi kepentingan anak-anak. Kita bawa segmen baharu. Kita perlu fleksibel. Apa juga perkara yang ingin kita mulakan, perlu beri perhatian dan jaga institusi keluarga.
“Kita juga melalui fasa biasa dan sering dilalui pasangan yang sudah bercerai, tetapi adakah kita mahu menjadikan anak sebagai mangsa? Atas sebab itu, kita perlu buang ego yang ada dalam diri dan belajar untuk pupuk kesedaran bagi meletakkan keutamaan kepada anak-anak,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.