
Kisah panas hubungannya dengan pelakon gandingan drama Izinkan Aku Mencintaimu membuatkan Aliff Aziz sedar betapa pentingnya menjaga kepercayaan isteri.
Membuang jauh kontroversi yang mengaitkannya dengan Afifah Nasir, Aliff beroleh pengajaran besar daripada kisah yang terjadi.
"Jangan lakukan perkara yang boleh membuatkan kepercayaan isteri jadi pudar. Apabila kepercayaan sudah tiada, semuanya akan jadi susah dan tak berguna lagi," katanya kepada BH Online.
Aliff berkata, sejak mula kontroversi itu diperkatakan, dia tidak pernah menunjukkan dirinya sebagai mangsa atau pihak yang tidak bersalah.
"Sejak awal lagi saya mengaku setiap kesilapan. Kontroversi ini berakhir pada 10 Ogos lalu apabila media melaporkan kenyataan pengarah drama terbabit, Manchi yang menafikan wujud 'perancangan' hingga berlakunya insiden itu," katanya.
"Terpulanglah apa orang nak cakap atau pihak satu lagi (Afifah) mahu pertahankan. Jika terus dibincangkan, ia hanya akan membuatkan luka lama berdarah kembali terutama buat isteri," katanya.
Tambah Aliff, dia dan isteri hanya mahu memandang ke depan dan melupakan apa yang berlaku.
"Tidak perlu dikenang cerita lalu. Saya dan isteri sudah penat dengan isu ini. Saya sendiri sudah memohon maaf kepada isteri dan meminta diberi peluang kedua.
"Jadi inilah masanya untuk saya buktikan dengan perbuatan," katanya.
Aliff berkata, sejak akhir-akhir ini, dia dan isteri banyak menghabiskan masa bersama seperti menikmati malam malam dan menonton wayang bagi mengeratkan hubungan.