
Meski tanpa sebarang album baharu penuh yang kali terakhir diterbitkan 18 tahun dahulu; hakikatnya sebaris nama Ziana Zain masih kekal relevan dalam arena seni suara tanah air.
Ibu tunggal kepada empat orang cahaya mata itu masih menerima jemputan menjaya majlis tertutup dan persembahan korporat. Beberapa hari lepas Ziana Zain antara salah seorang penyanyi yang memeriahkan event Coway 1 Million Celebration.
Mengambil tempat di Axiata Arena kehadiran Ziana yang disambut gemuruh oleh penonton seisi stadium malah turut sama menyanyikan lagu-lagu yang didendangkannya seperti Madah Berhelah ternyata membuatkan penyanyi itu persis di konsert miliknya sendiri.
Berkongsi di laman sosial instagramnya, ratusan komen memuji keampuhan vokal Ziana yang masih mantap untuk wanita di awal usia 50-an sepertinya. Umum maklum, lagu-lagu Ziana Zain hampir kesemuanya bernada tinggi dan mencekik leher.
Dalam himpunan komentar pada satu posting tersebut, ada seorang netizen yang menulis,
"Asyik lagu Madah Berhelah saja, nak lagu Kemelut Di Muara Kasih, Tiada Kepastian, Putus Terpaksa, Kasihku Pertahankan"
Membalas komen tersebut, Ziana membalas ringkas... "Client minta lagu ni dik..."
Untuk pengetahuan Ziana menyampaikan empat buah lagu dalam majlis tersebut, iaitu Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Dengarkanlah dan Girl On Fire.