
Nama pemain bola sepak JDT, Aidil Zafuan Abd Razak kembali dikaitkan dengan pelakon Rita Rudaini baru-baru ini.
Pelakon Rita Rudaini buat kali pertama mendedahkan secara eksklusif foto pernikahan dengan bekas suaminya, pemain bola sepak Aidil Zafuan Abd Radzak.
Rita, 42, berkata, foto kenangan yang disimpan itu diambil ketika upacara akad nikah yang diadakan di sebuah gudang beras di Thailand.
"Foto itu saya simpan baik-baik dalam sebuah cakera padat agar tidak tersebar, kini sampai masanya saya kongsi dengan orang yang nak tahu bagaimana perjalanan hidup saya.
"Kami bernikah di sebuah gudang beras kerana ketika itu imam tersebut rumahnya di atas gudang itu. Dia beri pilihan untuk bernikah di masjid tapi takut ada orang yang kenal," ujarnya kepada mStar Online.
Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 5 September 2013.
Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, yang kini bawah jagaan Rita.