
Seperti yang dijanjikan, hari ini seminggu selepas melahirkan cahaya mata sulung, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin secara rasmi memuat naik video dan foto wajah puteri sulungnya di Instagram miliknya.
Video dan foto bayi pertamanya yang diberi gelaran sementara Fatimah Az-Zahra itu dikongsi buat peminat menerusi laman Instagramnya pada petang Ahad.
“Bismillahirrohmanirrohim dan Assalammulaikumm, saya dan suami (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) ingin memperkenalkan anakanda kami kepada semua yang menanti-nantikan detik ini.
“Hari ini merupakan hari ketujuh usia kelahiran anakanda kami yang kami namakan dengan gelaran Fatimah Az-Zahra selama seminggu ini.
“Inilah penyejuk hati, anugerah Ilahi, anakanda yang melengkapkan kehidupan kami,” tulis Siti.
Nama penuh anakanda sulung Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid ini akan diumumkan secara langsung pada malam ini menerusi YouTube Siti Nurhaliza.