
Juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Shahir, menyangkal dakwaan kononnya beliau kembali ke bidang nyanyian atas dorongan wanita yang sering digosipkan dengan dirinya, Erra Fazira.
Kemunculan semula selepas kira-kira tiga tahun itu juga, katanya, bukanlah satu petanda mereka kononnya bakal mendirikan rumah tangga.
"Keputusan untuk kembali aktif ini disebabkan peminat dan bukannya kerana ingin berkahwin. Setahu saya, syarat sah untuk berkahwin tidak memerlukan saya untuk menjadi penyanyi," seloroh Shahir sambil ketawa kecil.
Menurut penyanyi ini, yang akan genap berusia 29 tahun pada 5 September depan, hasrat untuk kembali ke bidang seni memang sudah lama tersimpan dalam hati. Justeru, tawaran untuk menyertai program realiti AF Megastar dianggap sebagai laluan mudah untuknya merealisasikan hasrat berkenaan.
"Saya juga berjanji takkan menghilang lagi selepas ini," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media mengumumkan peserta program realiti terbabit, di sini.