
Pelakon Indonesia, Randy Pangalila menghasilkan buku berkaitan senaman dan diet selepas mendapat banyak pertanyaan daripada peminat di Instagram yang ingin mendapatkan tubuh badan berotot sepertinya.
"Jujurnya saya tidak pernah ke pusat kecergasan kerana jadual kerja yang sangat padat namun saya mempunyai cara tersendiri dalam menjaga pemakanan dan senaman bagi mendapatkan tubuh badan menarik sejak enam tahun lalu.
"Setiap kali saya memuat naik gambar di Instagram peminat akan bertanya apa rahsia saya mendapat bentuk tubuh berotot dan apabila saya jawab akan ada soalan lain berkaitan.
"Dari situ timbul idea untuk menghasilkan buku ini bagi berkongsi rahsia hasil daripada pertanyaan diajukan kepada saya," katanya kepada mStar Online.
"Bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat bukan sukar malah mudah jika dilakukan dengan betul dan itu yang saya tekankan dalam buku ini.
"Ia bukan sahaja buku tentang senaman dan diet yang boleh dilakukan di rumah tetapi lebih kepada perkongsian tentang kehidupan seharian saya.
"Banyak lagi kisah-kisah menarik yang saya selitkan dalam buku ini termasuk gambar-gambar eksklusif saya," katanya.
The Secret by Randy Pangalila dijual pada harga RM45 (Semenanjung Malaysia) dan RM48 (Sabah & Sarawak).
Bagaimanapun peminat boleh membeli buku itu di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang berlangsung pada 28 April hingga 7 Mei ini dengan harga RM38 sahaja.